
SHAH ALAM – Misteri kehilangan dua
sahabat sejak sebulan lalu terungkai selepas penyebaran beberapa keping
gambar di percayai mayat kedua-dua mangsa, di sebuah laman sosial
Facebook didaftarkan atas nama Ridan Pendewa Titisannnya Sakera.
Susulan penyebaran gambar tersebut, dua
individu ditahan dipercayai ada kaitan dengan kehilangan dua mangsa yang
dikenali sebagai Dofi, 21, dan Saiful, 19, yang dilaporkan hilang
selepas keluar membeli barang di pusat membeli belah di Seri Kembangan
pada 1 Mei lalu.
Hasil soal siasat ke atas seorang
daripada suspek kemudiannya membawa kepada penemuan dua rangka manusia
dalam semak di tepi Sungai Klang, berhampiran kawasan perindustrian di
Seksyen 26, di sini, petang semalam.
Sepupu Dofi, Hamsani, 46, yang ditemui
di lokasi kejadian berkata, mangsa bersama rakan baiknya, Saiful, pergi
ke pusat membeli belah tersebut dengan menaiki sebuah teksi.
“Kedua-dua mereka bagaimanapun gagal
dihubungi setelah tempoh 24 jam, sebelum bapa Dofi, terima panggilan
daripada seorang yang tidak dikenali meminta duit sebanyak RM5,000.
“Bapa Dofi hanya memasukkan duit
berjumlah RM 2,500 melalui satu akaun bank yang diberi, sebelum dia
dimaklumkan kedua-dua mangsa sudah dibebaskan dan dalam perjalanan
pulang ke rumah dengan menaiki teksi,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa
bagaimanapun tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi menyebabkan bapa
Dofi membuat satu lagi laporan polis berhubung perkara itu.
Ketika ditanya bagaimana dia mengetahui berhubung Facebook terbabit, Hamsani berkata, dia mengetahui melalui bapa saudaranya.
“Setelah kami melihat gambar yang
terdapat dalam Facebook itu, bapa Dofi mengecam pakaian, kasut dan tali
pinggang yang dipakai oleh anaknya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis
Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi mengesahkan
berhubung penemuan rangka manusia di kawasan terbabit, semalam.
Beliau berkata, penemuan rangka
kedua-dua mangsa ditemui kira-kira jam 3.15 petang semalam, selepas
suspek pertama ditahan ketika menunjukkan lokasi kejadian kepada polis.
“Siasatan awal dapati kes pembunuhan ini ada kaitan dengan kes kehilangan di Kotaraya, Kuala Lumpur, awal bulan ini.”
“Susulan penemuan rangka itu, kita tahan
seorang lagi suspek di sekitar kawasan Serdang, hari ini (semalam),
kesemua yang ditahan itu warga Indonesia. Difahamkan suspek merupakan
ahli kumpulan ‘Sakera’,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua rangka manusia itu
dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes ini
diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment