KUALA LUMPUR – Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah hilang mata pencarian sehingga kerugian RM40 ribu gara-gara terdapat laporan mengatakan kononnya dia menyertai parti pembangkang iaitu PAS. Adam Corrie, 45, berkata, dia telah dianiaya oleh individu tidak bertanggungjawab yang merakamkan gambarnya dalam sebuah ceramah agama di Taiping, Perak yang disertai Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din. “Salah ke saya menghadiri ceramah agama? Kenapa mereka perlu memanipulasikan gambar ketika saya berada di situ? Saya mahu berjumpa Haron Din untuk bertanya kepadanya petua mendapatkan anak cara Islam,” katanya kepada mStar Online pada Khamis. Adam Corrie ditemui di pejabat Persatuan Seniman Malaysia di Taman Melawati di sini selepas membuat laporan berhubung perkara itu kepada presiden persatuan berkenaan, Zed Zaidi. Katanya, pada majlis agama itu, dia tidak sempat berjumpa dengan pemimpin PAS berkenaan tetapi agak terkejut apabila gambarnya telah dimanipulasikan di Internet oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan syarikat produksi drama di negara ini enggan menawarkannya berlakon Akibat insiden berkenaan dia juga terpaksa menganggur sejak empat bulan lalu yang mengakibatkan dia kehilangan pendapatan kira-kira RM40,000 dalam tempoh berkenaan. Tambah Corrie, gambarnya dengan salah seorang ahli PAS itu turut dimanipulasikan. “Apabila keadaan ini berlaku, ia sedikit sebanyak mengganggu pendapatan saya yang mana saya mengharapkan daripada sumber berlakon untuk menyara isteri dan keluarga. “Saya mahu jelaskan di sini bahawa saya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik kerana saya seorang yang neutral. “Tujuan saya menghadiri ceramah hanya ingin mendapatkan ilmu sebagai seorang mualaf,” ujarnya. – mStar
















TAMBUNAN – Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hari ini menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘doktor politik’ atas kebolehan beliau ‘merawat’ masalah negara. Beliau berkata, seperti doktor perubatan, Najib akan mendengar permasalahan yang diajukan kepadanya sebelum mengambil setiap data berkaitan supaya ‘rawatan’ dapat diberikan dengan segera. “Doktor politik ini kemudiannya membawa data-data ini ke ‘bengkel’ untuk mendapatkan idea-idea termasuk daripada pihak swasta dalam mencari penyelesaian terbaik kepada rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan program jelajah Yayasan Sabah di Pisompuruan Square di sini. Turut hadir Pengarah Yayasan, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul dan Penolong Pegawai Daerah Tambunan (Pembangunan), Robert Stidi. Majlis dihadiri kira-kira 5,000 penduduk. Sehubungan itu, Pairin meminta supaya rakyat Sabah dalam menjalankan kewajipan pada 5 Mei ini untuk tidak melepaskan ‘Doktor Politik’ yang telah berada di dalam genggaman hanya kerana mahu memilih pembangkang yang menjanjikan bulan dan bintang tanpa rekod prestasi cemerlang sebagai ukuran. Pairin berkata, semasa kerajaan sibuk melakukan pelbagai tranformasi kepada rakyat, pembangkang pula bertindak memburuk-burukkan pemimpin negara di laman sosial dalam meraih simpati pengundi. “Jika dibandingkan, tidak ada kerajaan sebaik Barisan Nasional (BN) yang prihatin dan selalu memberikan pelbagai bantuan. “Berbeza keadaannya di negeri-negeri ditadbir pembangkang yang tidak tenteram kerana rakyat mereka telah bangkit untuk menuntut pelbagai janji yang tidak ditunaikan berbeza dengan BN yang berpegang kepada (slogan) ‘Janji Ditepati,” katanya. Pairin yang juga calon BN bagi kawasan Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri Tambunan juga yakin parti gabungan itu akan mempertahankan kedua-dua kerusi itu pada pilihan raya umum ini berdasarkan kehadiran masyarakat pada program anjuran parti itu. “Sokongan masyarakat adalah satu petanda baik kerana menunjukkan penerimaan yang tinggi terhadap program BN, yang setiasa cuba untuk membantu meningkatkan pembabitan rakyat dalam bidang perniagaan, sosial dan pelancongan, sekali gus membolehkan mereka menerima bantuan-bantuan yang dihulurkan kerajaan,” katanya. – BERNAMA
KUALA TERENGGANU – Seorang jurujual diugut dan diacu golok di Kampung Pengkalan Sentul Besut semalam ketika sedang mengiringi anggota sebuah parti berkempen dan merayu undi. Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 11 pagi ketika mangsa bersama dua lagi rakannya menunggang motosikal untuk mengiringi sebuah kereta yang dinaiki tiga perayu undi untuk berkempen di kampung itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata ketika sampai di kampung itu, motosikal mangsa dihalang dua lelaki yang merupakan penyokong parti lawan. Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, seorang daripada suspek tidak membenarkan mereka memasuki kampung berkenaan untuk berkempen sebelum bertindak menarik leher baju mangsa dan mengacukan sebilah golok pada lehernya. “Ketika kejadian mangsa yang berusia 21 tahun itu ditugaskan untuk menjaga keselamatan tiga perayu undi tersebut namun lelaki berkenaan mengugut supaya mereka tidak menjalankan kempen di kawasan kampung mereka. “Takut dengan kejadian itu mangsa berpatah balik dan terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut,” katanya. Manoharan berkata seorang daripada suspek berusia 45 tahun yang berasal dari Kampung Pengkalan Sentul menyerah diri di Balai Polis Besut kira-kira 12.30 tengah hari ini. Sejam kemudian suspek kedua berusia 59 tahun dan berasal dari Kampung Padang Buluh Besut turut menyerah diri di balai yang sama dan polis juga berjaya merampas senjata yang digunakan untuk mengugut mangsa ketika kejadian. – Bernama Iklan Teks:
KUALA NERANG – PAS tidak mungkin dapat melaksanakan hukum Hudud kerana parti itu tidak akan mampu menguasai majoriti kerusi Parlimen untuk meminda perlembagaan negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata bagi meminda perlembagaan, PAS perlu memperoleh sokongan dua pertiga kerusi Parlimen dan ia pasti tidak akan tercapai kerana parti itu hanya bertanding 70 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi. “DAP dan PKR tidak akan sokong, mereka (PAS) tidak akan mendapat dua pertiga majoriti tetapi rakyat tidak memahaminya. “Untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum Hudud, ini semua temberang, cakap bohong. Orang yang menipu, suka berbohong tak boleh jadi kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Program Himpunan Rakyat Padang Terap Bersama Calon Barisan Nasional di Padang Awam Padang Terap, di sini, Khamis. Beliau berkata pakatan pembangkang juga tidak layak mentadbir negara kerana pemimpin-pemimpin mereka sering bercanggah pendapat. “Kalau kita tengok Datuk Seri Najib (Tun Razak) cakap semua sokong, Cina, Melayu, India, Iban dan Kadazan. Tapi bila satu pihak mereka (pembangkang) kata sesuatu benda, yang lain semua bantah. “Mereka bertanding, PKR lawan PAS, mana boleh ada kerjasama, kalau tak dak kerjasama macam mana nak bentuk kerajaan bersekutu?,” kata Mahathir. Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan insiden letupan ketika majlis ceramah perdana anjuran Barisan Nasional (BN) di pekarangan Bilik Gerakan B NNibong Tebal Selasa lalu sebagai bukan budaya orang Malaysia. Mahathir berkata budaya itu mungkin ditiru dari negara yang kerajaannya bersifat kuku besi dan perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku di sini kerana Malaysia ada pilihan raya umum setiap lima tahun. “Dia tak tau nak jawab apa yang kita kata, dia guna kekerasan, cuba nak bunuh orang, orang Malaysia tak bunuh orang, ini budaya orang luar,” katanya merujuk kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perkara itu. Dalam kejadian pada 10.15 malam itu seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan akibat terkena bahan letupan yang diletakkan pada jarak kira-kira 10 meter dari bahagian belakang pentas ucapan.- BERNAMA
TEMERLOH – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Temerloh Datuk Saifuddin Abdullah akan memberi tumpuan kepada pengundi muda di peringkat akar umbi dalam memastikan kerusi itu kekal milik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini. Katanya daripada 66,105 pengundi di kawasan tersebut, kira-kira 30 peratus daripadanya adalah pengundi muda yang akan mengundi buat kali pertama. “Saya akan turun padang mendekati mereka, sekali gus mengatasi masalah golongan tersebut. “Saya yakin golongan muda akan memberikan sokongan kepada BN kerana sudah terbukti kejayaan dan pembaharuan yang dilakukan pemimpin tertinggi kepada golongan muda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan mini manifestonya di Mentakab dekat sini Khamis. Saifuddin berkata, beliau sangat memahami kehendak orang muda kerana beliau pernah menjadi Pengerusi Majlis Belia Malaysia suatu masa dahulu. Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Saifuddin mengalahkan Ahmad Nizam Hamid dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 2,441 undi. Pada PRU kali ini, beliau akan menentang Ketua Pemuda PAS Nasaruddin Hassan Tantawin dan berharap pengundi di Temerloh terus memberikan sokongan dan undi mereka kepada BN. “Saya akan menemui pengundi muda dan mendapatkan sokongan mereka, terserah kepada pengundi untuk menentunya tetapi saya yakin BN masih boleh mempertahankan kerusi ini,” katanya. -BERNAMA
KUALA LUMPUR – Kesas Sdn. Bhd. (Kesas) akan menutup sementara Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kinrara dan Awan Besar pada 29 April dan 2 Mei ini. Kesas melalui satu kenyataan media memberitahu, penutupan sementara R&R tersebut bagi memberi jalan kepada kerja-kerja pembersihan di situ. “Penutupan untuk kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan di R&R Kinrara pada 29 April 2013 (Isnin) dari pukul 7 hingga 11 pagi. “R&R Awan Besar pula akan ditutup sementara pada 2 Mei 2013 dari pukul 7 hingga 11 pagi,” kata kenyataan itu hari ini. Menurut kenyataan itu, penutupan sementara itu bertujuan menambah baik kualiti kebersihan R&R demi keselesaan para pengguna. Tambah kenyataan itu, R&R terbabit akan kembali beroperasi seperti biasa selepas pukul 11 pagi pada hari sama. Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-5633 7188 atau layari laman web www.kesas.com.my. – mynewshub.my Iklan Teks:
TAWAU – Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan 11 nelayan yang disyaki warga asing beserta empat bot dinaiki mereka selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Kepten Maritim Wan Mohd Affandi Wan Ahmad berkata, setiap bot ditahan di kawasan berasingan di perairan Batuan Tangan pada 22 April lepas. “Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas mereka, kesemua nelayan tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah. Kita percaya warga asing ini telah dipergunakan oleh nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menurut Wan Mohd Affandi, kesemua nelayan yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. Wan Mohd Affandi berkata, APMM akan meneruskan rondaan dan pemantauan bagi menyekat kegiatan perikanan menggunakan warga asing tanpa dokumen yang sah bagi memastikan perairan Sabah, khususnya Tawau selamat dan terkawal. – BERNAMA Iklan Teks:
KUALA LUMPUR – Parti politik diingatkan supaya jangan memasang bendera, poster dan kain rentang di kawasan laluan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana ia akan mengganggu operasi, terutama perkhidmatan kereta api elektriknya. Menurut KTMB, masih terdapat parti politik yang tidak mematuhi larangan tersebut terutama di sekitar Lembah Klang apabila ada bendera yang telah jatuh di kawasan trek dan mengganggu perjalanan serta melambatkan perkhidmatan tren. KTMB dalam kenyataan di sini Khamis berkata kawasan berdekatan laluan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan komuter di Lembah Klang merupakan kawasan bahaya dan mempunyai cas elektrik setinggi 25,000 volt yang boleh membawa maut serta gangguan kepada perkhidmatan komuter dan ETS. KTMB akan sentiasa memantau situasi tersebut dan akan mengambil tindakan dengan menanggalkan poster serta kain rentang yang boleh mendatangkan risiko keselamatan dan gangguan kepada perkhidmatan tren. – BERNAMA
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai terutama petugas parti politik yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) supaya memakai baju lengan panjang bila berada di luar rumah. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, saranan itu sebagai langkah proaktif untuk menghindar diri mereka daripada digigit nyamuk aedes. “Nasihat ini berikutan pemantauan Kementerian Kesihatan mendapati 89 peratus pembiakan nyamuk aedes adalah di luar rumah iaitu terdiri daripada bekas plastik, tong, tayar dan baldi. “Ia kebanyakannya dijumpai di kawasan persekitaran luar kediaman rumah,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Mengulas lanjut, Lokman Hakim berkata, sebanyak 422 kes demam denggi berlaku sejak 14 hingga 20 April lalu yang menyaksikan peningkatan 30 kes berbanding minggu sebelumnya. Menurut beliau, lapan negeri menunjukkan peningkatan kes iaitu Perak iaitu 15 kes, Selangor (13), Kuala Lumpur dan Putrajaya (tujuh), Kelantan (tujuh), Negeri Sembilan (empat), Johor (empat), Terengganu (satu) dan Kedah (satu). Selain itu katanya, jumlah kumulatif kes kematian akibat denggi kekal sebanyak 14 kematian berbanding 18 kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lalu. Beliau turut memaklumkan golongan yang berisiko dijangkiti denggi adalah lelaki iaitu pada kadar 61 peratus dan 56 peratus yang dijangkiti adalah golongan usia yang produktif iaitu antara 20 hingga 50 tahun. – mynewshub.my
KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengesahkan kepimpinan tertinggi PAS menghormati ideologi DAP bahawa pelaksanaan hukum hudud tiada dalam prinsip pakatan pembangkang. Beliau juga mengesahkan hukum hudud tidak terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang dan hukum itu bukan pendirian bersama parti PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama ini. “Saya ingin menjelaskan bahawa DAP tidak ubah pendirian dan tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan. Pakatan telah menyatakan bahawa hudud tidak terkandung dalam manifesto, pendirian bersama dan apa-apa prinsip bersama. “DAP bagaimanapun tetap menghormati PAS dan ideologinya sama seperti PAS dan PKR menghormati DAP dengan ideologi DAP,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Justeru Kit Siang mendakwa tidak timbul soal hukum hudud dalam perjuangan bersama pakatan pembangkang. Malah, katanya, PAS telah pun menjelaskan pendiriannya dalam konteks Negara Berkebajikan yang berfaedah kepada umat Islam dan rakyat Malaysia. Sehubungan itu beliau meminta Barisan Nasional (BN) tidak membuang masa dengan menjadikan hudud sebagai bahan politik Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Pemimpin veteran DAP itu sebaliknya meminta BN menjawab sama ada mereka mahu melaksanakan hukum hudud atau tidak. – mynewshub.my
JOHOR BAHRU – Pakar ekonomi dan kewangan, Profesor Datuk Dr Sudin Haron menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang cemerlang dengan pendekatan strategik ke arah memacu Malaysia ke arah kejayaan yang lebih gemilang. Najib patut mendapat mandat daripada orang ramai untuk terus memimpin negara dalam pilihan raya umum akan datang, katanya. Sudin, pengarah Pusat Harta Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Wakaf Malaysia berkata Program Transformasi Ekonomi perdana menteri itu telah menghasilkan banyak keputusan positif. “12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah ETP berpotensi untuk menyumbang jumlah ketara kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama. “Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat daripada RM630 bilion pada 2009 kepada RM749 bilion pada 2012. Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) juga meningkat daripada RM605 bilion kepada RM698 bilion pada tempoh yang sama. “Pelaburan terus asing (FDI) juga meningkat daripada RM5 bilion pada 2009 kepada RM37 bilion bagi 2011,” tambah Sudin. Beliau juga berkata ketibaan pelancong asing ke Malaysia telah meningkat daripada 24.6 juta pada 2009 kepada 25 juta bagi 2012. “Di bawah pentadbiran Najib, lebih banyak peluang pekerjaan telah dicipta. “Sebagai contoh, lebih 300,000 pekerjaan baharu dicipta pada 2011 dan 800,000 untuk 2012,” katanya. Menurut Sudin, data daripada Bank Dunia menunjukkan Najib juga telah membantu meningkatkan Malaysia kepada taraf yang lebih tinggi dalam beberapa bidang berbanding lain-lain negara. “Beliau telah memperkenalkan banyak inisiatif yang memberi kesan langsung kepada golongan berpendapatan rendah. Semua ini adalah di bawah konsep 1Malaysia,” katanya. Sudin berkata di bawah pentadbiran Najib, terdapat lebih kebebasan politik. “Beliau telah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan meminda Akta Pendidikan Tinggi Kebangsaan. “Saya percaya di bawah kepimpinan Najib, Malaysia telah berkembang pesat sejajar dengan Wawasan 2020. Oleh itu, rakyat Malaysia patut menyokong kepimpinannya,” tambah beliau. – BERNAMA
SEPERTI yang kita tahu, penyanyi terkenal 80an, Herman Tino akan bertanding dalam PRU-13 menentang Datuk Noh Omar dalam Parlimen Tanjung Karang. Beliau yang terkenal dalam lagu dialek Jawa, Ojo Kesandung dan seorang ahli UMNO itu bagaimanapun telah dipecat daripada parti tersebut. Tidak lama dulu, dua deejay SinarFM, Kak Engku dan Salleh Yaacob pernah ‘mengajuk’ Herman dalam rakaman yang dibuat dalam konti mereka. Walaupun rakaman itu dibuat lama sebelum penamaan calon lagi, tapi elok juga untuk kita lihat aksi deejay-deejay popular ini. Saja nak meredakan ‘ketegangan’ Herman, maklumlah nak lawan Menteri tu…bukan senang bro!
KUALA BERANG – Rakyat di kawasan Hulu Terengganu tidak mempunyai sebab untuk menolak Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian 5 Mei ini, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Said. Katanya ini kerana prestasi cemerlang kerajaan BN sudah terbukti menerusi pelaksanaan pelbagai janji termasuk pembinaan prasarana asas, sukan dan pelancongan yang memberi manfaat kepada rakyat. Masih banyak lagi yang sedang dan akan dilaksana jika BN terus meneraju negeri ini, kata Ahmad pada majlis Pemimpin Turun Padang, di sini hari ini. Merujuk kepada pembangunan pesat di Tasik Kenyir, Ahmad berkata selain pembangunan yang sedang dilakukan, BN Terengganu merancang membina tiga hotel dengan 750 bilik di kawasan tumpuan pelancong itu bagi menarik lebih ramai pengunjung. “Kita sasarkan dua juta pelancong ke Tasik Kenyir setahun,” katanya. Pada pilihan raya kali ini BN tampilkan calon baharu Datuk Jailani Johari bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu sementara kerusi dewan undangan negeri (DUN) pula ditandingi Rozi Mamat (Telemung), Yusof Awang Hitam (Manir), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), dan Ghazali Taib bagi DUN Ajil. – BERNAMA Iklan Teks: 






KUALA LUMPUR – Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali yang juga pakar motivasi mengumumkan orang Melayu wajib mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, pengumuman kewajipan mengundi UMNO pada PRU13 itu dibuat berdasarkan alasan-alasan yang kukuh dari sudut syarak dan realiti politik semasa. “Sudut syarak dan realiti politik semasa mewajibkan setiap pengundi Melayu Islam `memangkah’ calon UMNO dan BN dalam PRU13. Diharapkan dengan sokongan pengundi Melayu Islam akan memberi kekuatan dalam mendaulatkan Islam,” katanya melalui satu kenyataan media. Hasan berkata, orang Melayu wajib mengundi BN kerana mereka perlu mengagungkan Islam sedangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS tidak mempunyai daya juang untuk berbuat demikian. Antaranya, kata beliau, pemimpin DAP, Karpal Singh berkeras bahawa parti itu menolak Islam dan Hudud manakal PAS selaku parti yang kononnya memperjuangkan Islam dan bersekutu dengan DAP pula kelihatan berlembut dengan penegasan tersebut. Kata beliau, PKR yang sering menjadi `batu api’ pula tidak pernah memberikan persetujuan supaya pakatan pembangkang yang disertai ketiga-tiga parti tersebut akur dengan hasrat PAS untuk melaksanakan negara Islam dan hukum Hudud. – mynewshub.my
KUALA LUMPUR – Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan anak syarikatnya, FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) dan MASwings Sdn. Bhd. (MASwings) memberi sumbangan sebanyak RM638,555 kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima. Ketua Komunikasi Strategik MAS, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, sumbangan itu bagi menghargai jasa anggota keselamatan yang cedera dan terbunuh ketika mempertahankan kedaulatan negara di Sabah. “Kami menghargai setiap anggota pasukan keselamatan yang telah mengorbankan nyawa mereka dalam melindungi kedaulatan negara. “Seluruh rakyat Malaysia terjejas dan berasa amat sedih dengan pencerobohan militan di Lahad Datu. Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, MAS berasa amat perlu untuk menyumbang kepada dana ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Najmuddin berkata, sumbangan itu juga melambangkan komitmen MAS dan anak syarikatnya dalam menyokong usaha-usaha kerajaan mengekalkan keselamatan sempadan negara. Jelas beliau, rantau timur Sabah mempunyai tarikan eko-pelancongan terbaik dunia yang sangat popular dalam kalangan warga asing dan terdapat industri sokongan yang penting bagi menggalakkan ketibaan pelancong asing dan meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan. Justeru, katanya, pihaknya seperti rakyat Malaysia yang lain berasa amat lega apabila pertempuran di Sabah berakhir dan kawasan yang terjejas juga diisytiharkan selamat. MAS menghubungkan rantau timur Sabah dengan Kuala Lumpur melalui penerbangan B737 ke Sandakan dan Tawau, manakala penerbangan ATR-72 MASwings menghubungkan Kota Kinabalu dengan Lahad Datu, Sandakan dan Tawau. Selain itu, MAS juga mempunyai penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sebanyak 89 kali seminggu dan Kuala Lumpur ke Kuching sebanyak 77 kali seminggu. mynewshub.my













