KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang berang dengan satu rencana yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Melayu kerana didakwa memfitnah parti itu berhubung tragedi 13 Mei 1969. Beliau mendakwa, rencana itu membuat fitnah apabila mendakwa DAP parti perkauman yang memperalatkan hak sama rata serta memainkan isu perkauman pada pilihan raya 10 Mei 1969. “Ini satu lagi fitnah tentang (tragedi) 13 Mei untuk menanam rasa benci orang Melayu terhadap DAP,” dakwanya melalui satu kenyataan media. Kit Siang juga mendakwa rencana itu satu pembohongan dan penipuan kerana DAP tidak mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969. Pemimpin veteran DAP itu turut membidas rencana itu kerana mendakwa DAP memperoleh keuntungan apabila PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berebut di tujuh kawasan pada Pilihan Raya Umum Ke13. Dakwanya, rencana itu bersikap hipokrit kerana isu pertindihan kerusi pakatan pembangkang hanya berlaku di tujuh kawasan sedangkan Barisan Nasional (BN) melibatkan 61 calon. Justeru beliau menganggap akhbar tersebut sebagai alat propaganda BN untuk menjatuhkan pakatan pembangkang namun beliau percaya rakyat Malaysia tidak akan mempercayai fitnah itu. – mynewshub.my
0 comments:
Post a Comment