Masuk hari ke enam kempen Pilihan Raya Umum ke-13, pelbagai insiden yang tidak dikehendaki mencemari proses kempen tersebut. Insiden yang menyedihkan berlaku apabila jurukamera sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohamed Yaakub, 61, maut di hadapan rumahnya akibat dipukul oleh seorang penyokong parti politik dihadapan rumahnya berhampiran dengan markas PAS Bandar Lama, Gua Musang. Bukan itu sahaja, proses kempen PRU13 turut dicemari dengan kejadian letupan yang berlaku di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal, Pulau Pinang. Sewaktu kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang. Selain itu, kejadian yang hampir sama juga berlaku di Bilik Gerakan BN Sg Leman, Sekinchan apabila bilik gerakan tersebut terbakar setelah dipercayai dilempar dengan dua bom petrol oleh orang yang tidak dikenali. Justeru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi amaran kpada pihak yang bertanggungjawab untuk menyerah diri. Malah, beliau turut mendakwa kejadian yang berlaku di Pulau Pinang itu merupakan kejadian yang bermotif khianat dan terancang. Adakah ini cara kempen terbaru pada PRU13? Nampaknya, parti-parti politik atau individu-individu tertentu pada masa kini begitu terdesak hingga terpaksa menggunakan cara kotor bagi mengenakan pihak yang lain. Bukan mahu menuduh mana-mana pihak, cuma penulis kecewa dengan kematangan sesetengah pihak yang mementingkan diri serta bertindak mengikut hawa nafsu. Mengapa mesti ikutkan hati bila berkempen? Calon-calon yang bertanding serta pemimpin-pemimpin parti seharusnya menasihati petugas-petugas jentera kempen pilihan raya supaya bersikap lebih matang dalam membuat sesuatu perkara. Tindakan tersebut bukan sahaja memburukkan imej parti, malah ia turut memburukan imej Malaysia apabila liputan PRU13 bukan sahaja melibatkan media di Malaysia tetapi juga media antarabangsa. Baru lima hari proses kempen berlangsung, sudah ada yang meninggal dunia dan ada juga yang tercedera. Pihak polis juga perlu lebih serius dalam membuat kawalan di setiap kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti di bilik-bilik kawalan dan tempat-tempat ceramah umum. Justeru, semua pihak harus sedar bahawa proses pilihan raya yang sedang berlangsung kini perlulah berjalan dalam keadaan aman. Jangan sampai ada kejadian yang lebih buruk terjadi hingga menyebabkan kematian. Apa yang paling penting adalah bertindak dengan waras serta jangan menggunakan kekerasan serta kehendak hati dalam membuat sebarang keputusan. Semoga proses kempen serta pembuangan undi PRU13 berlangsung dengan aman dan sejahtera.
0 comments:
Post a Comment