Thursday, 25 April 2013

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai terutama petugas parti politik yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) supaya memakai baju lengan panjang bila berada di luar rumah. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, saranan itu sebagai langkah proaktif untuk menghindar diri mereka daripada digigit nyamuk aedes. “Nasihat ini berikutan pemantauan Kementerian Kesihatan mendapati 89 peratus pembiakan nyamuk aedes adalah di luar rumah iaitu terdiri daripada bekas plastik, tong, tayar dan baldi. “Ia kebanyakannya dijumpai di kawasan persekitaran luar kediaman rumah,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini. Mengulas lanjut, Lokman Hakim berkata, sebanyak 422 kes demam denggi berlaku sejak 14 hingga 20 April lalu yang menyaksikan peningkatan 30 kes berbanding minggu sebelumnya. Menurut beliau, lapan negeri menunjukkan peningkatan kes iaitu Perak iaitu 15 kes, Selangor (13), Kuala Lumpur dan Putrajaya (tujuh), Kelantan (tujuh), Negeri Sembilan (empat), Johor (empat), Terengganu (satu) dan Kedah (satu). Selain itu katanya, jumlah kumulatif kes kematian akibat denggi kekal sebanyak 14 kematian berbanding 18 kematian dalam tempoh yang sama pada tahun lalu. Beliau turut memaklumkan golongan yang berisiko dijangkiti denggi adalah lelaki iaitu pada kadar 61 peratus dan 56 peratus yang dijangkiti adalah golongan usia yang produktif iaitu antara 20 hingga 50 tahun. – mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment

Pengikut

Friends